Saturday, March 13, 2010
Pesan Tok Wan...
Saya dibesarkan oleh datuk dan nenek sejak usia 20 hari. Bagi orang utara, datuk dikenali sebagai Tok Wan manakala nenek dikenali sebagai Tok. Tok Wan (Allahyarham Haji Abdul Razak Ismail) dan Tok (Allahyarham Hajjah Che Embun Dahaman)merupakan dua insan tercinta yang banyak mencorakkan sebahagian besar daripada diri saya. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka...Sepanjang saya bersama Tok Wan, memang banyak pesan beliau. Apa yang ingin dikongsi hari ini ialah pesan Tok Wan terhadap amalan menziarahi kubur. Sejak berusia 5 tahun lagi Tok Wan telah pun mendedahkan saya dengan amalan menziarahi kubur. Tok Wan membawa dan mengenalkan saya dengan kubur saudara mara di samping mengajar adab-adab semasa berada di kubur. Kami membersihkan kubur bersama-sama. Hingga kini sejumlah 12 buah kubur berada di bawah jagaan saya.Semua kubur ini berada di Tanah Perkuburan Islam Masjid Changlun, Kedah. Semuanya wajib dikunjungi apabila saya menziarahi kubur. Alhamdulillah...amalan ini sudah sebati dengan diri saya sehingga kini. Tiada lagi rasa kekok atau seram. Semuanya telah menjadi terlalu biasa buat saya. Ziarah kubur bukan sekadar amalan pada hari raya semata-mata. Ziarah kubur banyak mendatangkan keinsafan kepada diri saya di samping menimbulkan rasa dekat dengan arwah-arwah yang telah terlebih dahulu dijemput Ilahi. Di samping membersihkan kubur, sedekahkan juga Al-Fatihah seterusnya berdoa untuk kesejahteraan arwah-arwah di alam barzakh. Saya bersyukur kerana dididik oleh Tok Wan agar mendekati kubur. InsyaAllah amalan ini akan diteruskan pula oleh anak-anak saya...semoga amalan ini terus kekal berlangsung generasi demi generasi...Terima kasih Tok Wan.....
Subscribe to:
Posts (Atom)