SELAMAT DATANG


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday, July 13, 2014

Tugasan Emcee Hari Guru

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Semenjak dua menjak ni ...memang tak sempat nak update blog. So...pengisian hari ini ...dah ada kesempatan ada la sikit perkembangan yang nak dikongsi bersama. Pada 24 Jun 2014, saya telah diamanahkan untuk mengacarakan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Parlimen Jerlun Tahun 2014. Sambutan diadakan pada waktu malam dan dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Kedah. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar meskipun ada beberapa perubahan pada saat-saat akhir. Syukur ke hadrat Allah SWT yang menganugerahkan kelapangan dan kelancaran majlis. Majlis dihadiri warga pendidik dan pemimpin-pemimpin masayarakat tempatan.

Thursday, June 26, 2014

Tugasan pd 21 Jun 2014

Pada 21 Jun 2014, sekali lagi saya diberi amanah dan kepercayaan untuk menjayakan tugas sebagai emcee untuk Majlis Perasmian Penutupan Program Maju Minda dan Bina Insan di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu. Alhamdulillah segalanya berlangsung dengan lancar. VVIP yang hadir ialah YB Datuk Tajul Urus Mat Zain, Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Negeri Kedah. Program sehari tersebut dijayakan oleh konsultan Mind Concept Resource. Sasaran terdiri daripada 400 orang murid Tahun 6 di kawasan Parlimen Jerlun.

Tuesday, March 4, 2014

Tugasan Menanti...

Alhamdulillah...telah ada tugasan yang menanti untuk dijayakan oleh Azrin EMCEE. Satu majlis resepsi perkahwinan dan satu lagi majlis jamuan makan malam. Kedua-duanya bakal berlangsung di TH Hotel, Kepala Batas, Alor Setar. Majlis resepsi tersebut pada 14 Mac 2014 manakala jamuan makan malam pula pada 17 April 2014. Semoga Allah SWT mempermudahkan urusan saya sepanjang menjalankan tugasan tersebut nanti. Insya Allah, saya akan memberikan khidmat yang terbaik dengan semampu mungkin demi kepuasan klien. Harapan saya agar lebih ramai khalayak yang bersedia memberi peluang kepada saya untuk mengacarakan majlis. Ingat...Azrin EMCEE : 'Bukan Sekadar Pengacara'...

Friday, February 21, 2014

Dunia Pengacaraan Majlis

Dah lama saya tidak mengemaskini blog ini yang dahulunya dikenali sebagai Azrin Hassan's View. Rasanya dah 3 tahun saya sendiri selaku 'owner' tidak menjenguk blog saya ini. Alhamdulillah, nampaknya Allah SWT telah memberi ruang dan upaya kepada saya untuk kembali aktif mengemaskini blog seterusnya memperkenalkan diri saya selaku pengacara majlis. Rasa-rasanya kawan-kawan pun pelik apabila dengan tiba-tiba...angin tak ada...ribut tak ada...saya muncul kembali di blog yang dah bersawang ni dengan tajuk baru...Azrin Emcee. Ya, inilah kebenarannya...saya kembali ke blog ini dengan membawa suatu 'niche area' yang amat saya minati iaitu bidang pengacaraan majlis. Hakikatnya saya telah lama dalam bidang ini. Dah lebih 20 tahun saya terbabit mengacarakan majlis bermula dengan 'event' pertama saya pada tahun 1992 iaitu Majlis Penutupan Gerkorama Peringkat Negeri Kedah di Universiti Utara Malaysia. Dalam usia 19 tahun pada ketika itu bergandingan dengan seorang sahabat daripada Sekolah Menengah Sultanah Bahiyah, Siti Hajar Ahmad...alhamdulillah saya dapat rasakan kepuasan yang tidak terhingga. Ucapan tahniah daripada guru-guru dan rakan-rakan telah membangkitkan minat dan menimbulkan keyakinan bahawa saya diberi kebolehan oleh Allah SWT dalam bidang ini. Sejak itu, peluang untuk mengacarakan majlis terus muncul dalam hidup saya. Semasa di maktab perguruan dulu pun, saya banyak terlibat mengacarakan majlis termasuklah Majlis Tilawah Al-Quran Antara Maktab Perguruan Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang. Alhamdulillah, apabila saya telah keluar berkhidmat sebagai guru saya masih lagi berpeluang untuk mengacarakan pelbagai majlis yang kebanyakannya majlis-majlis yang rasmi dan berprotokol di peringkat sekolah, daerah dan negeri. Mungkin saya tidak memiliki nama yang gah dikenali ramai...namun saya amat puas apabila setiap kali selesai melaksanakan tugas selaku pengacara majlis. Kepuasan yang sukar diungkap dengan kata-kata apabila majlis dimulakan dan ditamatkan dengan lancar tanpa gangguan sememangnya amat mengujakan saya. Syukur ke hadrat Allah SWT kerana masih memberi keizinan untuk saya terus berkecimpung dalam bidang ini. Kini, selepas 22 tahun, saya ingin membuka ruang seluas-luasnya untuk diri saya menawarkan khidmat pengacara majlis rasmi dan juga perkahwinan. Promosi telah pun saya gerakkan menerusi iklan sempena Festival Kerja Kahwin Utara 2014 yang akan berlangsung di Ukir Mall Alor Setar pada 28 Februari hingga 2 Mac 2014. Agensi-agensi awam dan korporat termasuk individu yang ingin menggunakan khidmat saya boleh menghubungi saya di talian 019 4701501 atau 04 9173501. Ok...semoga segalanya berjalan dengan lancar dan diredhai Allah SWT. Jumpa lagi Insya Allah.

Saturday, January 1, 2011

Sajak La Pulakkk...

Hadiah Buat Teman

Teman,
Terimalah naskhah ini
Suatu hadiah kecil
Daripada sahabatmu…
Tatapi lembarannya
Amati bait-bait ayatnya
Kutiplah…
Amalkanlah…
Sebarkanlah…
Intipati ilmunya
Moga-moga manfaatnya
Menyelimuti
Segenap ruang diri
dan
Memperoleh
Limpah rahmat serta
Redha Ilahi

Mohamad Azrin Hassan
SKBBD/16 Mei 2009

Pantun Saja Saja...

Bentuk suasa menjadi arca,
Nampak cantik menawan hati,
Untuk apa mencaci cerca;
Kelak nanti memakan diri.

Nampak indahnya si tanduk rusa,
Hiasan raja di kamar beradu,
Apa sudahnya menjeruk rasa;
Lafazkan saja ungkapan rindu.

Silau mentari menujah pandangan,
Indah kemboja menawan jiwa
Jikalau hati sudah berkenan;
Suntinglah sahaja dengan adatnya.

Anyam bakul di tepi penjuru,
Kelarai berseri seindah buatan,
Tersenyum simpul tanda setuju;
Termeterailah janji terjalinlah ikatan.

Thursday, December 23, 2010

14 Tahun Dulu...

14 tahun dulu, sebaik saja tamat pengajian di maktab, saya ditempatkan di SK Sungai Buaya, Rawang. Seminggu saja, saya dan isteri di situ (menyewa di Sungai Choh)memandangkan situasi pada ketika itu yang agak membimbangkan. Membimbangkan kerana pada masa itu banyak kes pecah rumah berlaku di sekitar Rawang. Masa tu tiap-tiap malam kami bergilir-gilir berjaga sehinggalah pada suatu malam memang sah sah ada cubaan pecah masuk ke rumah sewa kami. Mulanya kami dengar bunyi tingkap dibuka (tingkap nako kata orang Kedah)...kami terdiam...saling berpandangan. Di tangan saya cuma ada sebatang tukul (kata orang Kedah) sebagai senjata. Saya memberanikan diri menghampiri tingkap itu...tiba-tiba terdengar bunyi tapak kaki orang berlari...mungkin dia sedar kehadiran saya. Tak boleh jadi kata saya. Esoknya kami pergi ke rumah bapa saudara di Klang Gate. Pinjam motor beliau terus menuju ke Jabatan Pendidikan Selangor di Shah Alam. Tujuan hanya satu...apa jadi pun saya mesti tukar sekolah. On the way nak pergi ke situ...dalam keadaan tak tahu nak ikut jalan mana...redah sajalah. Lalu Federal Highway atas jalan besar sedangkan di situ ada laluan motor...fuhhhh memang bahaya rupanya....kereta laju-laju belaka dan seperkara lagi saya bimbang jugak kalau-kalau ditahan polis...dalam hati saya dah plan nak jawab apa kalau ditahan...
Kalau kena tahan saya akan tunjukkan i/c saya, mintak ampun datuk....saya orang Kedah...maafkanlah saya..hehehe itu sajalah modal saya. Dah sampai Shah Alam...entah kat Seksyen berapa saya pun dah lupa...tayar motor pulak pancit...tolaklah pulak motor tu ke kedai pomen. Dah siap tampal tayar barulah bergerak pula ke Jabatan Pendidikan Selangor...Alhamdulillah sampai juga kat situ...destinasi kami berdua. Dalam keadaan termengah-mengah...puas kami cari bilik pegawai berkenaan...masa tu jam dah menunjukkan pukul 4 lebih...at last, sampai jugak kami ke Jabatan Pendidikan Selangor...berjumpa dengan pegawai yang berkenaan. Setelah dimaklumkan sebab musabab saya nak bertukar, beliau bertanya saya, "Sanggupkah awak ke sekolah Cina?"...saya jawab, "Tak mengapa tuan, saya terima" ...rupanya beliau bergurau sahaja...saya ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Andalas, Klang berkuatkuasa esok....Alhamdulillah, syukur sangat sangat. Balik, terus angkut barang di rumah sewa terus ke rumah bapa saudara di Klang. Esoknya saya pun melapor diri di SK Taman Sri Andalas...lega rasanya. Itulah kisahnya...bagaimana saya memulakan kerjaya ...banyak lagi kenangan yang tersimpan rapi dalam ingatan...nanti saya kongsikan ya...